PUASA : IBADAT ATAU ADAT
Rasulullah saw bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah swt dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Pengajaran ayat dan maksud hadith:
1. Taqwa adalah ‘matawang’ dan tiket penting bagi seseorang masuk ke dalam Syurga untuk bertemu dengan Allah swt yang perlu diusahakan dan dicari antaranya melalui jalan berpuasa.
2. Puasa yang betul kaedahnya, benar matlamatnya dan jelas falsafahnya akan memungkinkan seseorang itu dianugerahi dengan ‘ijazah’ TAQWA.
3. Tidak semestinya mereka yang berpuasa akan memperoleh ganjaran pahala dan meraih darjah ‘TAQWA’ jika berpuasa hanya sekadar menahan makan dan minum semata-mata.
4. Berpuasa dengan penuh keimanan bermaksud yakin dengan janji-janji Allah swt dan melaksanakan perintah-perintah Allah swt, manakala dengan penuh pengharapan bermaksud semata-mata mencari pahala daripada sisi Allah swt dan bukan bertujuan untuk mendapatkan keuntungan dunia semata-mata.
5. Jika sekiranya kita mampu dan sanggup menahan daripada makan dan minum (sesuatu yang asalnya halal di luar Ramadhan) semasa berpuasa kerana menjunjung perintah Allah swt, maka tidak ada sebab kenapa kita tidak mampu menahan diri daripada makan, minum atau melakukan perkara yang mememangnya diharamkan oleh Allah swt.
6. Allah swt mendidik kita menjadi seorang yang ‘punctual’ (sangat-sangat menepati masa) melalui amalan berpuasa, sebagaimana kita melihat umat Islam benar-benar jujur menantikan saat-saat berbuka puasa, dimana mereka tidak akan berbuka sehingga benar-benar telah pasti kedengaran suara azan waktu maghrib.
Pengertian Taqwa ada tiga iaitu:
1. Melakukan apa yang disuruh dan di masa yang sama meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah swt.
2. Sentiasa berhati-hati menjalani kehidupan dan berjaga-jaga daripada terlibat dengan perkara yang haram seumpama seseorang yang berjalan di padang yang penuh dengan rantau dan duri serta binatang berbisa di malam yang gelap gelita.
3. Meninggalkan sesuatu yang halal kerana takut terjebak dengan haram contohnya mengelak makan di luar kerana bimbang termakan masakan daging yang tidak sempurna cara sembelihannya.
* SELAMAT DATANG RAMADHAN AL-MUBARAKH * SELAMAT MENJALANI ‘IBADAH PUASA RAMADHAN KEPADA SEMUA AHLI QARIAH SURAU NUR IKHWAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan