Selasa, Ogos 18, 2009

KAIFIAT (CARA) PUASA

Berikut adalah antara tatacara yang patut dijadikan panduan bagaimana kita seharusnya menjalani ‘Ibadah dalam bulan Ramadhan yang mulia, semuga mendapat keredhaan dan beroleh ganjaran pahala seterusnya melayakkan kita meraih darjah taqwa daripada Allah swt. Insya Allah:

1. Bangun di satu pertiga akhir malam untuk solat tahajud bersama ahli keluarga (lebih kurang jam 4.45 pagi).

2. Mandi hadas besar sebelum fajar (jika melakukan jimak), supaya memasuki puasa dalam keadaan suci bersih.

3. Setelah masuk waktu sahur sebaik-baiknya mentakhirkan waktunya menjelang waktu subuh (setengah jam sebelum waktu subuh), hendaklah bersahur walaupun dengan seteguk air. (pengaplikasian waktu imsak tiada dalam Sunnah Nabi saw)

4. Sesudah bersahur dengan memelihara adab-adabnya, bersihkanlah mulut dengan sebersih-bersihnya dan nantikanlah waktu subuh sambil membaca Al-Qur’an.

5. Usahakan supaya dapat melakukan solat berjamaah Subuh di Surau, Masjid atau bersama keluarga di rumah.

6. Setelah selesai solat subuh berjama’ah, bacalah Al Quran seberapa yang mampu.

7. Apabila telah terbit fajar, tahanlah diri dari makan, minum, mendekati isteri (jimak) dan dari segala yang boleh membatalkan puasa serta perkara yang menghilangkan pahala puasa (menjaga anggota yang enam iaitu mata, telingga, lidah, tangan, kaki dan hati).

8. Di siang hari hendaklah dijauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang haram, bahkan hendaklah dijauhkan diri dari pekerjaan–pekerjaan yang makruh dan sia-sia.

9. Menahan lidah dari berdusta dan bertengkar dan memperkatakan perkara yang tidak berfaedah seperti mengumpat, memfitnah dan memperkatakan kehormatan manusia lain.

10. Menahan diri dari pengaruh marah dan dari bersikap kurang baik, kurang sabar dan sifat-sifat lain yang tercela (mazmumah).

11. Memperbanyakkan sedekah (sama ada berbentuk wang, tenaga, kuih muih dan sebagainya).

12. Usahakanlah supaya setiap solat fardhu dapat ditegakkan dengan berjamaah beserta solat sunat rawatib (solat sunat yang mengiringi solat fardhu).

13. Berusaha agar sentiasa berada dalam majlis-majlis ‘ilmu. Mempergunakan setiap waktu di bulan Ramadhan untuk mendalami masalah-masalah keagamaan.

14. Seboleh mungkin supaya di tiap-tiap hari selepas solat zohor dan asar, disediakan waktu yang tetap untuk membaca Al Quran.

15. Berdoa kepada Allah sebelum tiba waktu berbuka dan semasa berpuasa, membanyakkan taubat, membanyakkan kebajikan dan menjauhi segala yang dibenci Allah.

16. Bila matahari telah nyata terbenam, bersegeralah berbuka puasa dengan tiga biji tamar atau makanan yang manis yang belum disentuh oleh api.

17. Sesudah solat Maghrib berjama’ah, baru disempurnakan makan dengan dituruti adab-adabnya.

18. Pada tiap-tiap malam dikerjakan solatul qiyam atau qiyam Ramadhan iaitu solat sunat Tarawih.

19. Apabila tiba sepuluh hari terakhir, banyakkanlah ibadat dengan jalan beriktikaf dan usahakanlah memperolehi "lailatul qadar" yang terletak di salah satu malam dari malam yang ganjil pada sepuluh hari yang akhir (dari malam 20 hingga 30).



ZAKAT FITRAH:


PENGERTIAN ZAKAT FITRAH :

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

SYARAT WAJIB ZAKAT :

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.

3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.

Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
Maksud dan tujuan nya ialah buat membersihkan orang yang berpuasa daripada pekerjaan yang telah dikerjakan olehnya dalam bulan Ramadhan selain membantu dan menolong orang-orang miskin dan beberapa orang yang berhak menurut yang di tetapkan oleh Allah dan Rasulnya supaya mereka dapat bersama-sama berhari raya pada hari raya.

Kadar Bayaran Fitrah :

Wajib fitrah adalah daripada makanan asasi bagi rakyat sesuatu negeri dengan kadar SATU GANTANG bagi dirinya dan setiap tanggunganya.

ZAKAT FITRAH PADA TAHUN INI 2009 / 1430 H.

Lembaga Zakat Selangor telah menetapkan bahawa kadar bagi setiap diri dan tanggungannya adalah RM 7.00 saorang.

PENOLONG AMIL DAN WAKTU BAYARAN :

Penolong Amil bagi Kawasan Taman Rawang Perdana : Hj Abdullah bin Hj Mohd Som

Tarikh kutipan bermula : akan dimakumkan

Waktu : selepas Solat Sunat Tarawih – Surau Nur Ikhwan

selepas solat Zohor & Asar pada hari Sabtu & Ahad – Surau Nur Ikhwan

Hari Jumaat – Surau Zaiton.


BIRO KHAIRAT KEMATIAN DAN PENGURUSAN JENAZAH:

Menguruskan jenazah merupakan satu perkara yang tidak boleh kita elakkan begitu sahaja. Sehubungan dengan itu Surau Nur Ikhwan telah membentuk satu biro khusus bagi tujuan ini. Biro ini telah dinamakan “Biro Khairat Kematian dan Pengurusan Jenazah” yang diketuai oleh Tuan Haji Abdullah Mat Som.

Tujuan biro ini ialah untuk memberikan khidmat kebajikan kepada anak qariah di sekitar Taman Rawang Perdana apabila berlakunya kematian. Oleh itu semua anak qariah amat digalakkan untuk menjadi ahli.

Yuran keahlian adalah seperti berikut :-
  • - Ahli baru RM 41.00
  • - Pembaharuan keahlian RM 30.00
Bagi anak qariah yang menjadi ahli, kos pengurusan jenazah adalah seperti berikut :-
  • Jenazah Dewasa— RM 670.00
  • Jenazah kanak-kanak bawah 12 tahun— RM 620
  • Jenazah bayi— RM 240.00
Kos yang tersebut di atas adalah ditanggung sepenuhnya oleh Biro.
Bagi anak qariah yang tidak menjadi ahli, sekiranya berlaku kematian pihak biro akan menguruskan jenazah seperti biasa, tetapi waris perlu membayar kos pengurusan jenazah kepada Biro sebanyak RM 800.00 secara tunai.

Huraian lanjut berhubung dengan tujuan, yuran, manfaat yang diberikan kepada ahli dan sebagainya akan dimuatkan di keluaran akan datang. Oleh itu pastikan anda menerima naskah tersebut.

Sebarang pertanyaan sila hubungi salah seorang AJK biro di bawah:-
  • Haji Abdullah bin Mat Som — 019-282 2434
  • Encik Hilmi bin Mohd Isa — 012-933 2709









Tiada ulasan:

Catat Ulasan