Khamis, Oktober 01, 2009

EDISI EIDUL FITRI SYAWAL 1430H

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Bersempena dengan Syawal dan Eidul Fitri pada tahun ini, barisan pegawai, ahli jawatan kuasa dan biro Surau Nur Ikhwan Taman Rawang Perdana mengucapkan:

Salam Eidul Fitri, Semoga Allah menerima semua amal kebaikan kita semua dan memohon kemaafan zahir dan batin di atas segala kekurangan, ketelanjuran dan salah silap . Semoga Allah menemukan kita lagi di Ramadhan yang akan datang, Insha Allah.

JEMPUTAN MAJLIS JAMUAN HARI RAYA SURAU NUR IKHWAN

Sukacita dimaklumkan bahawa semua pegawai, jawatankuasa dan biro Surau Nur Ikhwan Taman Rawang Perdana dengan segala hormatnya menjemput
semua ahli kariah serta keluarga ke

Majlis Jamuan Hari Raya Eidul Fitri 1430H
pada hari Sabtu 17 Oktober 2009 bersamaan 28 Syawal 1430H
selepas Solat Isyak
bertempat di Dataran Surau Nur Ikhwan

JADUAL KULIAH BULAN OKTOBER 2009:

Kepada semua muslimin dan muslimat adalah dijemput untuk menghadiri majlis ilmu yang telah disusun atur pada setiap minggu yang diadakan secara berkala pada setiap bulan. Penceramah-penceramah terdiri dari mereka yang berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang masing-masing. Sesungguhnya menuntut ilmu adalah menjadi kewajipan kita semua sebagai seorang muslim. Imam Al-Ghazali pernah berkata bahawa beramal tanpa ilmu adalah sia-sia dan berilmu tanpa beramal juga adalah sia-sia sahaja. Berikut adalah Jadual Kuliah Bulanan bagi bulan Oktober 2009:

TARIKH HARI USTAZ TAJUK KULIAH
1-Oct KHAMIS

2-Oct JUMAAT UST. DR. ABDUL LATIF HADITH
3-Oct SABTU UST. MD. ZIN MD. NOH FIQH MUSLIMAH ( PAGI )


UST. MUZAIR AQIDAH MUSLIMAH (PAGI)
4-Oct AHAD UST. HJ. ABDUL HAKIM KAEDAH FIQH
5-Oct ISNIN UST. MD. ZIN MD. NOH AQIDAH
6-Oct SELASA UST. AFANDI HUSIN TALAQI AL-QURAN
7-Oct RABU

8-Oct KHAMIS UST. ISMAIL ABAS TASAWWUR ISLAM
9-Oct JUMAAT

10-Oct SABTU UST. YAHYA AHMAD TAJWID MUSLIMAH ( PAGI )



TAJWID MUSLIMIN ( MLM)
11-Oct AHAD UST. HJ. ABDUL HAKIM KAEDAH FIQH
12-Oct ISNIN

13-Oct SELASA UST. ABDULLAH LOUTFI TAFSIR
14-Oct RABU

15-Oct KHAMIS UST. MD. ZIN MD. NOH RIADHUS SOLIHIN
16-Oct JUMAAT

17-Oct SABTU UST. MD. ZIN MD. NOH FIQH MUSLIMAH ( PAGI )


UST. MUZAIR AQIDAH MUSLIMAH (PAGI)
18-Oct AHAD

19-Oct ISNIN UST. MOHD NAZMI TASAUF
20-Oct SELASA UST. AFANDI HUSIN TALAQI AL-QURAN
21-Oct RABU

22-Oct KHAMIS

23-Oct JUMAAT UST. ABDUL RAZAK SIRAH
24-Oct SABTU UST. YAHYA AHMAD TAJWID MUSLIMAH ( PAGI )



TAJWID MUSLIMIN ( MLM)
25-Oct AHAD UST. GHAZALI HASBULLAH TAUHID
26-Oct ISNIN

27-Oct SELASA UST. AFANDI HUSIN TALAQI AL-QURAN


LAMAN HIDAYAH: PUASA ENAM SYAWAL


Sabda Nabi Muhammad saw yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadhan, kemudian diiringi dengan puasa (sunnat) enam hari dalam bulan Syawal ganjarannya adalah seperti puasa selama setahun." (Riwayat Muslim)

Pengajaran daripada maksud hadith:

1. Ramadhan merupakan bulan mendidik hawa nafsu, sepatutnya nafsu telah terdidik dengan puasa Ramadhan selama sebulan untuk menjadi bekal melawan syaitan sebelas bulan mendatang.

2. Sekiranya hawa nafsu masih tidak terdidik walaupun setelah bepuasa selama sebulan menunjukkan kita telah gagal menghayati falsafah puasa dan membuktikan puasa kita tertolak.

3. Seorang muslim mukmin yang sejati akan sentiasa rindu dan mencari-cari peluang untuk terus beribadah kepada Allah swt.

4. Seseorang yang berpuasa sebulan penuh Ramadhan belum tentu melakukannya kerana cinta kasih kepada Allah swt, Namun puasa sunat Enam Syawal sebenarnya menjadi kayu pengukur kerana ia adalah pilihan.

5. Dengan berpuasa selama enam hari dalam bulan Syawal kita akan mendapat ganjaran seolah-olah berpuasa selama sepanjang tahun.

6. Aidil Fitri bukanlah hari raya sebenar pada hakikatnya tetapi lebih merupakan hari kemenangan dan kesyukuran kerana kita telah berjaya mendidik dan mengalahkan hawa nafsu.

7. Semua perkara di dalam Islam adalah terikat dengan ibadah termasuk meraikan Hari Raya, Ibadah Hari Raya akan terbatal jika tidak melaksanakannya mengikut sunnah saw.

8. Hari Raya yang sebenarnya adalah hari di mana kita mendapat kebebasan daripada api neraka yang sangat pedih di akhirat kelak.

9. Jangan nodakan Aidil Fitri dengan menyokong mereka yang jahil (yang tidak layak berhari raya) merosak dan mencemarkan kesucian hari raya dengan maksiat dan mungkar.

10. Dunia bukanlah tempat berehat atau bersuka ria, kenang dan lihatlah sejarah kehidupan Baginda Nabi Muhammad saw yang terus berjuang tanpa rehat sehingga ke akhir hayat Baginda saw.

RENCANA: KELEBIHAN DAN KEISTIMEWAAN EIDUL FITRI

Kemuliaan Hari Aidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah di dalam beberapa hadisnya. Oleh itu umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.

Sehubungan dengan inilah Allah berfirman di dalam Al Quran menerusi ayat 185 surah al-Baqarah yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur."

Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis seperti sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Daripada Umamah r.a. bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.

Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajallah hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadan. Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.

Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani r.a. yang bermaksud:

"Barang siapa menghayati malam Hari Raya Aidil Fitri dan malam Hari Raya Aidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir."

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Aidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah s.a.w. Firman Allah SWT, maksudnya:

Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."

Daripada hadis pula sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. maksudnya:

Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda daripada Anas r.a. maksudnya:

Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.
Ini bermakna, seseorang muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.

Adalah lebih baik mengemas rumah, menjahit baju yang masih belum siap, menggosok pakaian raya untuk persiapan solat pagi raya bagi membesarkan Allah, menggantung langsir dengan niat mencantikkan rumah, kerana Allah suka kepada yang indah dan cantik, daripada menghabiskan sepanjang malam raya dengan menonton rancangan televisen, apatah lagi rancangan hiburan, filem, seloka Aidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih sepanjang bulan Ramadan.

Aktiviti di pagi raya :

1. Aidilfitri digalakkan bersarapan terlebih dahulu.

2. Mengenakan pakaian raya yang baru (tapi ia bukan satu kemestian) serta berwangi-wangian bagi orang lelaki.

3. Bersegera pergi ke tempat solat, sama ada masjid, surau, dewan terbuka atau di tanah lapang, iaitu dengan melalui jalan lain dari jalan yang dilalui sebelum menunaikan solat.

4. Antara amalan yang patut dilakukan pada Hari Raya Aidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri.

5. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin.

6. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah jiran tetangga, sanak saudara dan rakan taulan.
Ini kerana mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah


TARBIYAH : MERAPIKAN SAF-SAF SOLAT

Beginilah Para Sahabat Nabi Merapikan Saf-saf Solat Mereka:


Berdasarkan kepada hadis-hadis yang sahih, di antaranya:

Maksud: Dari Anas B. Malik (radhiyallahu 'anhu), beliau menjelaskan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam menyuruh supaya para makmum merapatkan saf-saf mereka dan Nabi akan dapat memerhatikan mereka dari belakang. Dan pada ketika itu masing-masing di antara kami pun saling merapatkanlah bahu dengan bahu dan telapak kaki dengan telapak kaki yang di sebelah. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, 3/154, no. 683)

Maksud: Daripada 'Abdullah B. 'Umar, bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda: Luruskanlah saf-saf, rapatkanlah bahu-bahu, tutuplah celah-celah (di kanan dan kiri di antara kamu), dan berlemah-lembutlah terhadap saudara kamu, serta jangan biarkan ada celah-celah untuk Syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf, Allah akan menyambungkan hubungan dengannya dan sesiapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya. (Hadis Riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab as-Solah, 2/309, no. 570. Dinilai Sahih oleh al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud, 2/166, no. 666)

Contoh merapatkan saf yang betul pada telapak kaki berpandukan lakaran ini:


SEMOGA KITA DAPAT MENCONTOHI RASULULLAH S.A.W DAN PARA SAHABAT BAGINDA DALAM MELAKSANAKAN IBADAT SEHARIAN.

AKTIVITI SURAU: AKTIVITI BULAN RAMADHAN

Bagi mengimarahkan bulan Ramadhan pada tahun ini khususnya pada malam-malam Ramadhan, pihak pengurusan Surau Nur Ikhwan telah mengatur beberapa program, di antaranya ialah tazkirah Ramadhan selepas solat tarawih, Tadarus Al-Quran untuk muslimin, muslimat dan anak-anak remaja, majlis berbuka puasa, jamuan morey, Qiamullail serta majlis penyampaian cenderahati kepada para peserta tadarus dan petugas-petugas Ramadhan yang telah diadakan pada malam 27 Ramadan 1430H.

Salah satu kumpulan sedang bertadarus Al-Quran


Tuan Hj Zamri sedang tekun memimpin ank-anak remaja bertadarus Al-Quran


Muslimat juga turut bertadarus Al-Quran


Ahli jemaah muslimin dan anak-anak remaja sedang menikmati juadah berbuka puasa


Muslimat dan anak-anak remaja sedang berbuka puasa di surau

PROGRAM KHIDMAT MASYARAKAT:
TABUNG FISABILLAH UNTUK USTAZ JAMAL MUHAMMAD QURTUBI:

Dengan segala hurmatnya dimaklumkan kepada muslimin dan muslimat yang berhajat untuk menghulurkan derma atau zakat untuk Tabung Fisabilillah Ustaz Jamal Muhammad Qurtubi, Imam Solat Tarawih Surau Nur Ikhwan yang melanjutkan pelajaran ke Mesir bolehlah berbuat demikian dengan mendepositkankan sumbangan ke dalam akaun beliau. Butir-butir akaun akan dimaklumkan oleh saudara Ahmad Sazali (no. hp: 012-2028698).

Ustaz Jamal Muhammad Qurtubi


Untuk makluman semua, Ustaz Jamal telah pun berlepas ke Kaherah, Mesir pada hari Rabu 30 September 2009. Beliau telah menyampaikan salam kepada muslimin dan muslimat dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih yang tidak terhingga di atas sumbangan yang telah diberikan. Beliau juga memohon agar kita semua mendoakan kejayaan beliau.


INFORMASI BIRO : HAL EHWAL KHAIRAT KEMATIAN

Biro Khairat Kematian dan Pengurusan Jenazah

Info ini adalah sambungan daripada keluaran pertama huraian lanjut berhubung dengan tujuan, manfaat yang diberikan kepada ahli.

NAMA DAN ALAMAT

Biro Kebajikan [Khairat Kematian dun Pengurusan Jenazah]
Masjid Nurul Iman
Batu 18Jalan Kuala Lumpur-lpoh
48000 RA WANG, Selangor Darul Ehsan.
Telefon: 03-60918370 } Setiausaha 019-2550644 }

TUJUAN:

1. Memberi khidmat kebajikan kepada ahli Qariah sekitar Bandar Rawang, terutama semasa berlakunya kematian ke atas keluarga mereka dapat diuruskan oleh pihak Biro Kebajikan (Khairat Kematian dun Pengurusan Jenazah) Masjid Nurul Iman Rawang dengan kadar segera.

2. Menggalakan semua ahli Qariah menyertai khairat kematian dengan yuran tahunan yang berpatutan serta tidak membebankan ahli jika berlakunya kematian.

3. Ahli waris perlu menghubungi Pn. Siti Norainon Hussain, Setiausaha Telefon No: 03-60918370/019-255064 atau wakil Surau Taman musing-musing dengan kadar segera, sekiranya berlaku kematian dan beri maklumat sepenuhnya agar tidak melengah-lengahkan masa untuk menguruskan jenazah tersebut.

Wakil Taman Rawang Perdana:

1. Haji Abdullah bin Mat Som— 019-282 2434
2. Encik Hilmi bin Mohd Isa— 012-933 2709

MANFAAT YANG DIBERI KEPADA AHLI :

1. Manfaat Khairat Kematian ini diberi kepada ahli dan pasangannya serta anak kandung dan anak angkat yang didaftarkan di bawah jagaannya juga kepada ibubapa serta mertua yang tinggal bersamanya. Had umur bagi anak kandung/anak angkat(le1aki) ialah dari lahir hingga 20 tahun dan bagi yang masih menuntut di IPT/KOLEJ sehingga 24 tahun (peringkat ijazah). Ahli perlu menunjukkan kad pelajar anak kandung/anak angkat tersebut. Bagi anak kandung/anak angkat perempuan pula manafaat ini diberi sehingga ianya berkahwin.

2. Sekiranya ahli dan pasangan ditakdirkan meninggal dunia di luar kawasan Qariah Rawang dan jenazahnya diuruskan di tempat tersebut, pihak Biro akan memberi sumbangan sebanyak RM 670.00(tunai) kepada waris dengan syarat salinan Sijl Kematian hendaklah diserahkan kepada Setiausaha.

3. Sekiranya anak kepada ahli meninggal di luar kawasan Qariah Rawang, umurnya 24 tahun dan sedang menuntut di IPT/Kolej atau 20 tahun ke bawah, jenazahnya diuruskan di tempat tersebut pihak Biro akan memberi sumbangan sebanyak RM 300.00(tunai) kepada waris dengan syarat salinan Sijil Kematian diserahkan kepada Setiausaha.

4.4 Ibu/Bapa/mertua yanq tinggal bersama ahli dan nama mereka ada didaftarkan di dalam borang keahlian, sekiranya berlaku kematian ke atasnya pengurusan akan diberikan seperti biasa. Jika mereka meninggal di luar Qariah Rawang dun dikebumikan di tempat tersebut, pihak Biro akan memberi sumbangan wang tunai sebanyak RM 300.00 sahaja, yang lainnya ditanggung oleh pihak waris. Salinan Sijil Kematian hendaklah diserahkan kepada Setiausaha.

4.5 Sekiranya Ibu/Bapa datang dari kampung ke rumah anaknya yang menjadi ahli, ditakdirkan salah seorang dari keduanya meninggal, pihak Biro akan menguruskan jenazah tersebut seperti biasa, tetapi ahli waris hendak membayar kos pengurusan jenazah kepada Biro sebanyak RM 400.00 (tunai), salinan sijil Kematian hendaklah diserahkan kepada Setiausaha oleh pihak waris.


USIK & SENYUM:

PELIK TETAPI BENAR!!!!!!

Alangkah Peliknya Kita......

Duit RM 50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tapi
begitu kecil bila kita bawa ke supermarket.

30 minit terasa terlalu lama untuk berzikir tapi
betapa pendeknya waktu itu untuk satu cerita komedi.

Betapa lamanya satu jam berada di masjid, tapi
betapa cepatnya dua jam berlalu saat menonton wayang di panggung.

Dengar iklan jualan murah di tv rasa tak sabar-sabar nak pergi beli-belah,
Tapi dengar laungan azan tak sabar-sabar nak tukar channel lain.
tak sampai 30 minit dengar khutbah Jumaat dah rasa jemu, tapi
tak pernah puas dengar lagu kesukaan kita walaupun dah ulang dua tiga kaset berkali-kali.

Pasar malam jauh sanggup naik kereta pergi, tapi
masjid/surau dekat rumah rasa berat pula kaki.

Rasa susah sungguh untuk habiskan Al-Quran walau satu halaman, tapi
majalah hiburan dan novel best-seller 100 halaman pun habis dilahap.

Ramai orang berebut paling depan bila menonton bola atau konsert, tapi
berebut cari saf paling belakang bila solat jemaah supaya boleh cepat keluar.

kita begitu percaya pada yang dikatakan di emel di internet, tapi
kita sering mempertikaikan apa yang dikatakan Al-Quran.

Pelik tak kita.....???
Tepuk dada... tanyalah hati dan iman.


CADANGAN DAN MAKLUMBALAS:

Dengan segala hurmatnya, muslimin dan muslimat adalah dijemput untuk mengutarakan sebarang bentuk cadangan dan maklumbalas kepada Sidang Pengarang di dalam usaha untuk menambah baik dan meningkatkan lagi mutu penerbitan risalah dan blog Suara Nur Ikhwan ini. Segala maklumbalas dan cadangan bolehlah disampaikan kepada pihak AJK Sidang Pengarang atau emel kepada surau.nurikhwan@gmail.com .

Pihak Sidang Pengarang terlebih dahulu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan penerbitan Suara Nur Ikhwan ini. Kami juga memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat catatan ini yang menyinggung atau menyentuh mana-mana individu.


Selasa, Ogos 18, 2009

KATA-KATA ALUAN PENAUNG

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh diucapkan kepada muslimin dan muslimat khususnya dari qariah Surau Nur Ikhwan. Terlebih dahulu saya ingin menucapkan Alhamdulillah ..segala puji bagi Allah Ta'ala kerana dengan rahmat dan izin Nya edisi sulong SUARA NUR IKHWAN dapat direalisasikan.

Suara Nur Ikhwan (SNI) ini diwujudkan bertujuan untuk menjadi penyebar ilmu dan maklumat kepada semua masyarakat setempat di sekitar Rawang Perdana. Dengan saluran SNI ini segala maklumat aktiviti dan juga ilmu dapat disampaikan kepada semua. Mudah-mudahan masyarakat setempat dapat manfaatkan SNI ini dengan sebaik mungkin di dalam usaha untuk memantapkan lagi diri dan keluarga dari aspek keimanan dan ketaqwaan sebagai insan yang bergelar hamba Allah.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih yang tidak terhingga kepada sidang pengarang yang bertungkus lumus untuk menjadikan SNI ini satu kenyataan. Saya juga mengalu-alukan sumbangan masyarakat di dalam usaha untuk meningkatkan ukhuwah di kalangan ahli qariah.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Ramadhan kepada semua muslimin dan muslimat sekeluarga. Semoga Allah megurniakan kepada kita semua kekuatan ruhani dan jasmani untuk melaksanakan ibadat puasa dan ibadat-ibadat lain dengan amalan yang terbaik seolah-olah Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir untuk diri kita.

Saya juga ingin menjemput semua muslimin dan muslimat sekeluarga untuk hadir ke surau untuk mengimarahkankan lagi suasana di bulan Ramadhan yang penuh dengan pengisian ilmu dan amal ibadat. Disamping itu, kehadiran muslimin dan muslimat semua akan meningkatkan lagi ukhuwah di antara satu sama lain.

Akhir kata, saya amat bersyukur kepada Allah Ta'ala dan semoga Allah Ta'ala mengampuni, memberkati , dan merahmati kita semua dengan rahmatNya yang Maha luas.

Wassalam..

JADUAL TAZKIRAH RAMADHAN

Tarikh Nama Penceramah Tajuk Tazkirah
Ramadhan 1 22-Aug-09 Ust Muzairi Penyucian Hati Melalui Ramadhan
Ramadhan 2 23-Aug-09 Ust Ghazali Hasbullah Jiran
Ramadhan 3 24-Aug-09 Ust Khusairi Abdullah Budaya bersedekah
Ramadhan 4 25-Aug-09 Ust Abdullah Yasin Budaya membaca
Ramadhan 5 26-Aug-09 Ust Zulramli Ghazali Puasa membentuk keluarga bahagia
Ramadhan 6 27-Aug-09 Ust Zamri Mantop Berkorban melalui amalan berpuasa
Ramadhan 7 28-Aug-09 Ust Razak Al Misri Rasulullah ketua keluarga
Ramadhan 8 29-Aug-09 Ust Khairul Zaman Solat Berjamaah
Ramadhan 9 30-Aug-09 Ust Ismail Haji Omar Budaya Ilmu
Ramadhan 10 31-Aug-09 Ust Md Zain Md Noh Budaya Doa
Ramadhan 11 1-Sep-09 Ust Fadhil Kamaruddin Bersahur
Ramadhan 12 2-Sep-09 Ust Dasuki Ahmad Penyakit Hati
Ramadhan 13 3-Sep-09 Ust Major Jihadi Ahmad Tarawih
Ramadhan 14 4-Sep-09 Ust Zamri Zainal Abidin Nuzul Quraan
Ramadhan 15 5-Sep-09 Ust Nazmi Abd Karim Persiapan KeAlam Akhirat
Ramadhan 16 6-Sep-09 Ust Abd Hakim Pendidikan Anak Menurut Islam
Ramadhan 17 7-Sep-09 Ust Kamal Asshaari Badar kubra
Ramadhan 18 8-Sep-09 Ust Abdullah Loutfi Anak Bermasaalah - Kaedah menangani
Ramadhan 19 9-Sep-09 Ust Rizal Mokhtar Mencari Lailatul Qadar
Ramadhan 20 10-Sep-09 Ust Ismail Abas Institusi Masjid
Ramadhan 21 11-Sep-09 Ust Dr. Abd Latif Muhasabah Dan Taubat
Ramadhan 22 12-Sep-09 Ust Najhan Ucapan Salam
Ramadhan 23 13-Sep-09 Ust Anuar Ridwan Maksud Hamba Allah
Ramadhan 24 14-Sep-09 Ust Awang Mamat Mengumpat
Ramadhan 25 15-Sep-09 Ust Mohd Najib Ali Zakat Fitrah
Ramadhan 26 16-Sep-09 Ust Yahya Ahmad Majlis Khatam Al Quraan
Ramadhan 27 17-Sep-09 Ust Md Zain Md Noh Puasa Diterima Dan Ditolak
Ramadhan 28 18-Sep-09 Ust Affandi Hussain Membazir Dan Kesannya
Ramadhan 29 19-Sep-09
Hari Raya Islam - Tip Istiqaamah

LAMAN HIDAYAH NUR IKHWAN:

PUASA : IBADAT ATAU ADAT

Rasulullah saw bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah swt dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran ayat dan maksud hadith:

1. Taqwa adalah ‘matawang’ dan tiket penting bagi seseorang masuk ke dalam Syurga untuk bertemu dengan Allah swt yang perlu diusahakan dan dicari antaranya melalui jalan berpuasa.

2. Puasa yang betul kaedahnya, benar matlamatnya dan jelas falsafahnya akan memungkinkan seseorang itu dianugerahi dengan ‘ijazah’ TAQWA.

3. Tidak semestinya mereka yang berpuasa akan memperoleh ganjaran pahala dan meraih darjah ‘TAQWA’ jika berpuasa hanya sekadar menahan makan dan minum semata-mata.

4. Berpuasa dengan penuh keimanan bermaksud yakin dengan janji-janji Allah swt dan melaksanakan perintah-perintah Allah swt, manakala dengan penuh pengharapan bermaksud semata-mata mencari pahala daripada sisi Allah swt dan bukan bertujuan untuk mendapatkan keuntungan dunia semata-mata.

5. Jika sekiranya kita mampu dan sanggup menahan daripada makan dan minum (sesuatu yang asalnya halal di luar Ramadhan) semasa berpuasa kerana menjunjung perintah Allah swt, maka tidak ada sebab kenapa kita tidak mampu menahan diri daripada makan, minum atau melakukan perkara yang mememangnya diharamkan oleh Allah swt.

6. Allah swt mendidik kita menjadi seorang yang ‘punctual’ (sangat-sangat menepati masa) melalui amalan berpuasa, sebagaimana kita melihat umat Islam benar-benar jujur menantikan saat-saat berbuka puasa, dimana mereka tidak akan berbuka sehingga benar-benar telah pasti kedengaran suara azan waktu maghrib.

Pengertian Taqwa ada tiga iaitu:

1. Melakukan apa yang disuruh dan di masa yang sama meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah swt.

2. Sentiasa berhati-hati menjalani kehidupan dan berjaga-jaga daripada terlibat dengan perkara yang haram seumpama seseorang yang berjalan di padang yang penuh dengan rantau dan duri serta binatang berbisa di malam yang gelap gelita.

3. Meninggalkan sesuatu yang halal kerana takut terjebak dengan haram contohnya mengelak makan di luar kerana bimbang termakan masakan daging yang tidak sempurna cara sembelihannya.

* SELAMAT DATANG RAMADHAN AL-MUBARAKH * SELAMAT MENJALANI ‘IBADAH PUASA RAMADHAN KEPADA SEMUA AHLI QARIAH SURAU NUR IKHWAN

KAIFIAT (CARA) PUASA

Berikut adalah antara tatacara yang patut dijadikan panduan bagaimana kita seharusnya menjalani ‘Ibadah dalam bulan Ramadhan yang mulia, semuga mendapat keredhaan dan beroleh ganjaran pahala seterusnya melayakkan kita meraih darjah taqwa daripada Allah swt. Insya Allah:

1. Bangun di satu pertiga akhir malam untuk solat tahajud bersama ahli keluarga (lebih kurang jam 4.45 pagi).

2. Mandi hadas besar sebelum fajar (jika melakukan jimak), supaya memasuki puasa dalam keadaan suci bersih.

3. Setelah masuk waktu sahur sebaik-baiknya mentakhirkan waktunya menjelang waktu subuh (setengah jam sebelum waktu subuh), hendaklah bersahur walaupun dengan seteguk air. (pengaplikasian waktu imsak tiada dalam Sunnah Nabi saw)

4. Sesudah bersahur dengan memelihara adab-adabnya, bersihkanlah mulut dengan sebersih-bersihnya dan nantikanlah waktu subuh sambil membaca Al-Qur’an.

5. Usahakan supaya dapat melakukan solat berjamaah Subuh di Surau, Masjid atau bersama keluarga di rumah.

6. Setelah selesai solat subuh berjama’ah, bacalah Al Quran seberapa yang mampu.

7. Apabila telah terbit fajar, tahanlah diri dari makan, minum, mendekati isteri (jimak) dan dari segala yang boleh membatalkan puasa serta perkara yang menghilangkan pahala puasa (menjaga anggota yang enam iaitu mata, telingga, lidah, tangan, kaki dan hati).

8. Di siang hari hendaklah dijauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang haram, bahkan hendaklah dijauhkan diri dari pekerjaan–pekerjaan yang makruh dan sia-sia.

9. Menahan lidah dari berdusta dan bertengkar dan memperkatakan perkara yang tidak berfaedah seperti mengumpat, memfitnah dan memperkatakan kehormatan manusia lain.

10. Menahan diri dari pengaruh marah dan dari bersikap kurang baik, kurang sabar dan sifat-sifat lain yang tercela (mazmumah).

11. Memperbanyakkan sedekah (sama ada berbentuk wang, tenaga, kuih muih dan sebagainya).

12. Usahakanlah supaya setiap solat fardhu dapat ditegakkan dengan berjamaah beserta solat sunat rawatib (solat sunat yang mengiringi solat fardhu).

13. Berusaha agar sentiasa berada dalam majlis-majlis ‘ilmu. Mempergunakan setiap waktu di bulan Ramadhan untuk mendalami masalah-masalah keagamaan.

14. Seboleh mungkin supaya di tiap-tiap hari selepas solat zohor dan asar, disediakan waktu yang tetap untuk membaca Al Quran.

15. Berdoa kepada Allah sebelum tiba waktu berbuka dan semasa berpuasa, membanyakkan taubat, membanyakkan kebajikan dan menjauhi segala yang dibenci Allah.

16. Bila matahari telah nyata terbenam, bersegeralah berbuka puasa dengan tiga biji tamar atau makanan yang manis yang belum disentuh oleh api.

17. Sesudah solat Maghrib berjama’ah, baru disempurnakan makan dengan dituruti adab-adabnya.

18. Pada tiap-tiap malam dikerjakan solatul qiyam atau qiyam Ramadhan iaitu solat sunat Tarawih.

19. Apabila tiba sepuluh hari terakhir, banyakkanlah ibadat dengan jalan beriktikaf dan usahakanlah memperolehi "lailatul qadar" yang terletak di salah satu malam dari malam yang ganjil pada sepuluh hari yang akhir (dari malam 20 hingga 30).



ZAKAT FITRAH:


PENGERTIAN ZAKAT FITRAH :

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

SYARAT WAJIB ZAKAT :

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.

3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.

Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
Maksud dan tujuan nya ialah buat membersihkan orang yang berpuasa daripada pekerjaan yang telah dikerjakan olehnya dalam bulan Ramadhan selain membantu dan menolong orang-orang miskin dan beberapa orang yang berhak menurut yang di tetapkan oleh Allah dan Rasulnya supaya mereka dapat bersama-sama berhari raya pada hari raya.

Kadar Bayaran Fitrah :

Wajib fitrah adalah daripada makanan asasi bagi rakyat sesuatu negeri dengan kadar SATU GANTANG bagi dirinya dan setiap tanggunganya.

ZAKAT FITRAH PADA TAHUN INI 2009 / 1430 H.

Lembaga Zakat Selangor telah menetapkan bahawa kadar bagi setiap diri dan tanggungannya adalah RM 7.00 saorang.

PENOLONG AMIL DAN WAKTU BAYARAN :

Penolong Amil bagi Kawasan Taman Rawang Perdana : Hj Abdullah bin Hj Mohd Som

Tarikh kutipan bermula : akan dimakumkan

Waktu : selepas Solat Sunat Tarawih – Surau Nur Ikhwan

selepas solat Zohor & Asar pada hari Sabtu & Ahad – Surau Nur Ikhwan

Hari Jumaat – Surau Zaiton.


BIRO KHAIRAT KEMATIAN DAN PENGURUSAN JENAZAH:

Menguruskan jenazah merupakan satu perkara yang tidak boleh kita elakkan begitu sahaja. Sehubungan dengan itu Surau Nur Ikhwan telah membentuk satu biro khusus bagi tujuan ini. Biro ini telah dinamakan “Biro Khairat Kematian dan Pengurusan Jenazah” yang diketuai oleh Tuan Haji Abdullah Mat Som.

Tujuan biro ini ialah untuk memberikan khidmat kebajikan kepada anak qariah di sekitar Taman Rawang Perdana apabila berlakunya kematian. Oleh itu semua anak qariah amat digalakkan untuk menjadi ahli.

Yuran keahlian adalah seperti berikut :-
  • - Ahli baru RM 41.00
  • - Pembaharuan keahlian RM 30.00
Bagi anak qariah yang menjadi ahli, kos pengurusan jenazah adalah seperti berikut :-
  • Jenazah Dewasa— RM 670.00
  • Jenazah kanak-kanak bawah 12 tahun— RM 620
  • Jenazah bayi— RM 240.00
Kos yang tersebut di atas adalah ditanggung sepenuhnya oleh Biro.
Bagi anak qariah yang tidak menjadi ahli, sekiranya berlaku kematian pihak biro akan menguruskan jenazah seperti biasa, tetapi waris perlu membayar kos pengurusan jenazah kepada Biro sebanyak RM 800.00 secara tunai.

Huraian lanjut berhubung dengan tujuan, yuran, manfaat yang diberikan kepada ahli dan sebagainya akan dimuatkan di keluaran akan datang. Oleh itu pastikan anda menerima naskah tersebut.

Sebarang pertanyaan sila hubungi salah seorang AJK biro di bawah:-
  • Haji Abdullah bin Mat Som — 019-282 2434
  • Encik Hilmi bin Mohd Isa — 012-933 2709









USIK & SENYUM - siri 1

Di sebuah kg ada 3 org remaja yang suka lepak. Sorang tu nama dia Ali, sorang tu Budin dan sorang lagi Ciko. Aktiviti seharian depa ni menyebabkan tok imam tak senang duduk. Pada satu hari tok imam tu datang dengan niat nak tarbiyah depa ni.

Maka berlakulah beberapa insiden cabar-mencabar. Tok imam tu cabar si mamat 3 orang tu ke surau waktu Maghrib nanti.

Si Ali pun berkata, "Tok imam ingat kami ni jahil sangat ke? Takpa, nanti kami buktikan yang kami bukan la jahil sangat seperti yang disangkakan" .

Maka apabila hampir masuk waktu Maghrib pergilah mamat 3 orang tu ke surau.

Tok imam pun suruh Ali azan. Tanpa berlengah terus je Ali azan, "Allah Ta'ala... Allah Ta'ala...". Dengan segera tok imam merampas mikrofon daripada Ali dan menyuruh Tok Bilal azan semula. Terselah kejahilan Ali.

Selepas iqamat, masa nak sembahyang tok imam pun mengangkat takbiratul ihram. Tok imam pun satu hal, angkat sekali tak khusyuk, angkat 2 kali pun tak khusyuk jugak lagi...

Masuk je kali ketiga, Budin panggil tok imam. "Tok,tok duduk kat belakang, biar saya jadi imam." Tok imam pun undur le ke belakang.

Budin pun angkat le takbiratul ihram. "Allahu akbar!" Maka para makmum pun ikut angkat takbiratul ihram & memulakan solat. Tiba-tiba je si Budin ni pusing ke belakang dan berkata, "Aaa, tengok! Sekali jee tokkkk!!" Lalu batallah solat Budin. Yg lain-lain pun ikut berenti sambil ketawa terbahak-bahak.

Tok imam pun mintak pulak si Ciko jadi imam. Si Ciko pun terus ke depan jadi imam solat tersebut bermula dari takbir sampai le habis sembahyang.
Siap dengan wirid-wiridnya sekali. Punyalah respek tok imam kat si Ciko niii...

Lepas solat, tok imam pun puji-memuji leee si Ciko ni... Tapi dgn bongkaknye si Ciko berkata,

"He hee, itu belum ambil wuduk lagi tu.Kalau tak, lagi dassat aku semayang. He heee...

PERCUTIAN KELUARGA - JEMAAH SURAU NUR IKHWAN:

Program percutian ini adalah acara tahunan jemaah Surau Nur Ikhwan, Taman Rawang Perdana yang mana tujuan utamanya adalah untuk memupuk semangat kejiranan dan mengeratkan tali silaturahim sesama jemaah. Program ini dijalankan pada cuti pesekolahan bulan Jun.

Program ini telah dimulakan pada tahun 2006, destinasi pertama adalah percutian ke Teluk Batik, Lumut, Perak. Seramai 12 keluarga telah turut serta.


Pada tahun 2007 program ini terpaksa ditangguhkan kerana ramai jemaah pada masa itu berangkat ke tanah suci mengerjakan Umrah.

Gambar: Hilmi Mohd Isa (Penyelaras Program)

Pada tahun 2008 program ini diteruskan lagi, Kali ini ke Pantai Balok, Pahang dengan penyertaan yang amat menggalakan, seramai 20 keluarga telah menyertai percutian pada kali ini.

Tahun 2009 program ini telah ditukar nama kepada “Kembara Keluarga”. Kembara Keluarga pada kali ini membawa para jemaah melihat keindahan pantai di Marang Terengganu. 18 keluarga berserta ahli keluarga masing-masing berhimpun di Angullia Resort. Bagi kaum ibu, mereka telah dibawa membeli belah di Pasar Payang dan melawat Masjid Kristal.

Kepada jemaah yang berminat dan ingin turut serta atau ingin mendapat maklumat lanjut program ini bolehlah berhubung dengan Penyelaras Program, En. Hilmi Mohd Isa.

Gambar: Rombongan ahli keluarga bergambar di Teluk Batik, Perak ( 2006)


Gambar: Rombongan keluarga bergambar di Pantai Balok, Kuantan (2008)

Gambar: Bergambar sebelum memulakan kembara keluarga 2009

Gambar: Sukaneka keluarga di Pantai Marang, Terengganu (2009)


PROGRAM MOTIVASI PELAJAR REMAJA:

Program Pemantapan Minda & Rohani bagi anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan resmi sesi 2009:

Kita akan merasa bangga sekiranya anak-anak kita beroleh kejayaan yang cermerlang kerana ianya dapat mengharumkan nama keluarga khususnya dan taman kediaman amnya. Diatas kesedaran itulah maka Biro Pemuda Surau Nur Ikhwan pada setiap tahun menganjurkan satu program khusus untuk anak-anak sekitar Taman Rawang Perdana yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. Program ini diadakan bertujuan memberi semangat, kekuatan mental dan fizikal termasuk keyakinan diri para pelajar sebelum mereka menghadapi peperiksaan.

Program ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu :-

1. Pemantapan Minda dan Motivasi berserta Pemantapan Rohani dan Qiamullail
2. Bacaan Yasin dan Solat Hajat

Kapada ibubapa yang ingin turut serta bolehlah menghantar anak-anak mereka pada masa hadapan, kerana program untuk tahun ini telah pun selesai dijalankan pada 11-12/7/2009 dan 15/8/2009.

Gambar: Ibu bapa dan anak-anak sedang mengikuti program

Gambar: Ibu bapa dan anak-anak sedang mendengar taklimat

Penceramah Tetap Surau Nur Ikhwan

Penceramah Tafsir Al-Quran:
Tuan Guru Sheikh Abdullah Lutfi dari Kg. Delek, Kelang, Selangor. Kuliah disampaikan pada setiap Selasa kedua secara bulanan selepas Maghrib.
Penceramah Aqidah dan Riadhus Solihin:
Ustaz Mohd Zin dari Gombak menyampaikan kuliah Aqidah pada setiap Isnin pertama dan Riadhus Solihin pada setiap Khamis ketiga secara bulanan. Beliau juga menyampaikan kuliah fiqh kepada muslimat pada Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan pada waktu dhuha.


Penceramah Risalah Tauhid:

Ustaz Ghozali Hasbullah dari Darul 'Atiq, Kuala Kubu Baru menyampaikan kuliah Risalah Tauhid pada Ahad ke empat secara bulanan.




Penceramah Asbabul Wurud:
Ustaz Dr. Abdul Latif dari Tasik Puteri menyampaikan kuliah Asbabul wurud ( sebab-sebab Hadis diriwayatkan) pada setiap Jumaat pertama secara bulanan.


Penceramah Kaedah Fiqh:
Ustaz Hj Abdul Hakim dari Rawang menyampaikan kuliah Kaedah Fiqh pada Ahad pertama dan kedua secara bulanan.

Penceramah Sirah Rasulullah s.a.w. :
Ustaz Abdul Razak Al-Mesri dari Rawang menyampaikan Kuliah Sirah pada setiap Jumaat ke empat secara bulanan.

Penceramah Tasawur Islam:
Ustaz Ismail Abbas dari Selayang menyampaikan Kuliah Tasawur Islam pada Khamis kedua secara bulanan.



Penceramah Tasawuf Islam:
Ustaz Mohd Nazmi Abdul Karim dari Shah Alam menyampaikan Kuliah Tasawuf pada Isnin ketiga secara bulanan.














Guru Al-Quran:

Ustaz Mohd Apandi selaku Imam dan Penasihat Surau Nur Ikhwan adalah Pembimbing kuliah talaqi Al-Quran. Beliau sering ke udara di radio dan bakal muncul di rancangan Astro - Kalam Suci pada Ramadhan ini.

Guru Tajwid Al-Quran:
Ustaz Yahya Ahmad dari Ampang adalah Guru Tajwid yang membimbing jemaah muslimin dan muslimat pada Sabtu kedua dan keempat setiap bulan. Beliau juga membimbing muslimat pada waktu dhuha hari Sabtu kedua dan keempat setiap bulan.


Penceramah Tafsir dan Aqidah untuk Kuliah Muslimat:

Ustaz Muzair (tiada dalam gambar) menyampaikan kuliah Tafsir Al-Quran dan Aqidah kepada muslimat pada waktu dhuha setiap Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan.

Ahli Jawatan Kuasa Surau Nur Ikhwan 2008/2009

Isnin, Ogos 17, 2009