Selasa, Ogos 18, 2009

KATA-KATA ALUAN PENAUNG

Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh diucapkan kepada muslimin dan muslimat khususnya dari qariah Surau Nur Ikhwan. Terlebih dahulu saya ingin menucapkan Alhamdulillah ..segala puji bagi Allah Ta'ala kerana dengan rahmat dan izin Nya edisi sulong SUARA NUR IKHWAN dapat direalisasikan.

Suara Nur Ikhwan (SNI) ini diwujudkan bertujuan untuk menjadi penyebar ilmu dan maklumat kepada semua masyarakat setempat di sekitar Rawang Perdana. Dengan saluran SNI ini segala maklumat aktiviti dan juga ilmu dapat disampaikan kepada semua. Mudah-mudahan masyarakat setempat dapat manfaatkan SNI ini dengan sebaik mungkin di dalam usaha untuk memantapkan lagi diri dan keluarga dari aspek keimanan dan ketaqwaan sebagai insan yang bergelar hamba Allah.

Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terimakasih yang tidak terhingga kepada sidang pengarang yang bertungkus lumus untuk menjadikan SNI ini satu kenyataan. Saya juga mengalu-alukan sumbangan masyarakat di dalam usaha untuk meningkatkan ukhuwah di kalangan ahli qariah.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Salam Ramadhan kepada semua muslimin dan muslimat sekeluarga. Semoga Allah megurniakan kepada kita semua kekuatan ruhani dan jasmani untuk melaksanakan ibadat puasa dan ibadat-ibadat lain dengan amalan yang terbaik seolah-olah Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir untuk diri kita.

Saya juga ingin menjemput semua muslimin dan muslimat sekeluarga untuk hadir ke surau untuk mengimarahkankan lagi suasana di bulan Ramadhan yang penuh dengan pengisian ilmu dan amal ibadat. Disamping itu, kehadiran muslimin dan muslimat semua akan meningkatkan lagi ukhuwah di antara satu sama lain.

Akhir kata, saya amat bersyukur kepada Allah Ta'ala dan semoga Allah Ta'ala mengampuni, memberkati , dan merahmati kita semua dengan rahmatNya yang Maha luas.

Wassalam..

JADUAL TAZKIRAH RAMADHAN

Tarikh Nama Penceramah Tajuk Tazkirah
Ramadhan 1 22-Aug-09 Ust Muzairi Penyucian Hati Melalui Ramadhan
Ramadhan 2 23-Aug-09 Ust Ghazali Hasbullah Jiran
Ramadhan 3 24-Aug-09 Ust Khusairi Abdullah Budaya bersedekah
Ramadhan 4 25-Aug-09 Ust Abdullah Yasin Budaya membaca
Ramadhan 5 26-Aug-09 Ust Zulramli Ghazali Puasa membentuk keluarga bahagia
Ramadhan 6 27-Aug-09 Ust Zamri Mantop Berkorban melalui amalan berpuasa
Ramadhan 7 28-Aug-09 Ust Razak Al Misri Rasulullah ketua keluarga
Ramadhan 8 29-Aug-09 Ust Khairul Zaman Solat Berjamaah
Ramadhan 9 30-Aug-09 Ust Ismail Haji Omar Budaya Ilmu
Ramadhan 10 31-Aug-09 Ust Md Zain Md Noh Budaya Doa
Ramadhan 11 1-Sep-09 Ust Fadhil Kamaruddin Bersahur
Ramadhan 12 2-Sep-09 Ust Dasuki Ahmad Penyakit Hati
Ramadhan 13 3-Sep-09 Ust Major Jihadi Ahmad Tarawih
Ramadhan 14 4-Sep-09 Ust Zamri Zainal Abidin Nuzul Quraan
Ramadhan 15 5-Sep-09 Ust Nazmi Abd Karim Persiapan KeAlam Akhirat
Ramadhan 16 6-Sep-09 Ust Abd Hakim Pendidikan Anak Menurut Islam
Ramadhan 17 7-Sep-09 Ust Kamal Asshaari Badar kubra
Ramadhan 18 8-Sep-09 Ust Abdullah Loutfi Anak Bermasaalah - Kaedah menangani
Ramadhan 19 9-Sep-09 Ust Rizal Mokhtar Mencari Lailatul Qadar
Ramadhan 20 10-Sep-09 Ust Ismail Abas Institusi Masjid
Ramadhan 21 11-Sep-09 Ust Dr. Abd Latif Muhasabah Dan Taubat
Ramadhan 22 12-Sep-09 Ust Najhan Ucapan Salam
Ramadhan 23 13-Sep-09 Ust Anuar Ridwan Maksud Hamba Allah
Ramadhan 24 14-Sep-09 Ust Awang Mamat Mengumpat
Ramadhan 25 15-Sep-09 Ust Mohd Najib Ali Zakat Fitrah
Ramadhan 26 16-Sep-09 Ust Yahya Ahmad Majlis Khatam Al Quraan
Ramadhan 27 17-Sep-09 Ust Md Zain Md Noh Puasa Diterima Dan Ditolak
Ramadhan 28 18-Sep-09 Ust Affandi Hussain Membazir Dan Kesannya
Ramadhan 29 19-Sep-09
Hari Raya Islam - Tip Istiqaamah

LAMAN HIDAYAH NUR IKHWAN:

PUASA : IBADAT ATAU ADAT

Rasulullah saw bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan kepada Allah swt dan mengharapkan pahala, nescaya akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran ayat dan maksud hadith:

1. Taqwa adalah ‘matawang’ dan tiket penting bagi seseorang masuk ke dalam Syurga untuk bertemu dengan Allah swt yang perlu diusahakan dan dicari antaranya melalui jalan berpuasa.

2. Puasa yang betul kaedahnya, benar matlamatnya dan jelas falsafahnya akan memungkinkan seseorang itu dianugerahi dengan ‘ijazah’ TAQWA.

3. Tidak semestinya mereka yang berpuasa akan memperoleh ganjaran pahala dan meraih darjah ‘TAQWA’ jika berpuasa hanya sekadar menahan makan dan minum semata-mata.

4. Berpuasa dengan penuh keimanan bermaksud yakin dengan janji-janji Allah swt dan melaksanakan perintah-perintah Allah swt, manakala dengan penuh pengharapan bermaksud semata-mata mencari pahala daripada sisi Allah swt dan bukan bertujuan untuk mendapatkan keuntungan dunia semata-mata.

5. Jika sekiranya kita mampu dan sanggup menahan daripada makan dan minum (sesuatu yang asalnya halal di luar Ramadhan) semasa berpuasa kerana menjunjung perintah Allah swt, maka tidak ada sebab kenapa kita tidak mampu menahan diri daripada makan, minum atau melakukan perkara yang mememangnya diharamkan oleh Allah swt.

6. Allah swt mendidik kita menjadi seorang yang ‘punctual’ (sangat-sangat menepati masa) melalui amalan berpuasa, sebagaimana kita melihat umat Islam benar-benar jujur menantikan saat-saat berbuka puasa, dimana mereka tidak akan berbuka sehingga benar-benar telah pasti kedengaran suara azan waktu maghrib.

Pengertian Taqwa ada tiga iaitu:

1. Melakukan apa yang disuruh dan di masa yang sama meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah swt.

2. Sentiasa berhati-hati menjalani kehidupan dan berjaga-jaga daripada terlibat dengan perkara yang haram seumpama seseorang yang berjalan di padang yang penuh dengan rantau dan duri serta binatang berbisa di malam yang gelap gelita.

3. Meninggalkan sesuatu yang halal kerana takut terjebak dengan haram contohnya mengelak makan di luar kerana bimbang termakan masakan daging yang tidak sempurna cara sembelihannya.

* SELAMAT DATANG RAMADHAN AL-MUBARAKH * SELAMAT MENJALANI ‘IBADAH PUASA RAMADHAN KEPADA SEMUA AHLI QARIAH SURAU NUR IKHWAN

KAIFIAT (CARA) PUASA

Berikut adalah antara tatacara yang patut dijadikan panduan bagaimana kita seharusnya menjalani ‘Ibadah dalam bulan Ramadhan yang mulia, semuga mendapat keredhaan dan beroleh ganjaran pahala seterusnya melayakkan kita meraih darjah taqwa daripada Allah swt. Insya Allah:

1. Bangun di satu pertiga akhir malam untuk solat tahajud bersama ahli keluarga (lebih kurang jam 4.45 pagi).

2. Mandi hadas besar sebelum fajar (jika melakukan jimak), supaya memasuki puasa dalam keadaan suci bersih.

3. Setelah masuk waktu sahur sebaik-baiknya mentakhirkan waktunya menjelang waktu subuh (setengah jam sebelum waktu subuh), hendaklah bersahur walaupun dengan seteguk air. (pengaplikasian waktu imsak tiada dalam Sunnah Nabi saw)

4. Sesudah bersahur dengan memelihara adab-adabnya, bersihkanlah mulut dengan sebersih-bersihnya dan nantikanlah waktu subuh sambil membaca Al-Qur’an.

5. Usahakan supaya dapat melakukan solat berjamaah Subuh di Surau, Masjid atau bersama keluarga di rumah.

6. Setelah selesai solat subuh berjama’ah, bacalah Al Quran seberapa yang mampu.

7. Apabila telah terbit fajar, tahanlah diri dari makan, minum, mendekati isteri (jimak) dan dari segala yang boleh membatalkan puasa serta perkara yang menghilangkan pahala puasa (menjaga anggota yang enam iaitu mata, telingga, lidah, tangan, kaki dan hati).

8. Di siang hari hendaklah dijauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang haram, bahkan hendaklah dijauhkan diri dari pekerjaan–pekerjaan yang makruh dan sia-sia.

9. Menahan lidah dari berdusta dan bertengkar dan memperkatakan perkara yang tidak berfaedah seperti mengumpat, memfitnah dan memperkatakan kehormatan manusia lain.

10. Menahan diri dari pengaruh marah dan dari bersikap kurang baik, kurang sabar dan sifat-sifat lain yang tercela (mazmumah).

11. Memperbanyakkan sedekah (sama ada berbentuk wang, tenaga, kuih muih dan sebagainya).

12. Usahakanlah supaya setiap solat fardhu dapat ditegakkan dengan berjamaah beserta solat sunat rawatib (solat sunat yang mengiringi solat fardhu).

13. Berusaha agar sentiasa berada dalam majlis-majlis ‘ilmu. Mempergunakan setiap waktu di bulan Ramadhan untuk mendalami masalah-masalah keagamaan.

14. Seboleh mungkin supaya di tiap-tiap hari selepas solat zohor dan asar, disediakan waktu yang tetap untuk membaca Al Quran.

15. Berdoa kepada Allah sebelum tiba waktu berbuka dan semasa berpuasa, membanyakkan taubat, membanyakkan kebajikan dan menjauhi segala yang dibenci Allah.

16. Bila matahari telah nyata terbenam, bersegeralah berbuka puasa dengan tiga biji tamar atau makanan yang manis yang belum disentuh oleh api.

17. Sesudah solat Maghrib berjama’ah, baru disempurnakan makan dengan dituruti adab-adabnya.

18. Pada tiap-tiap malam dikerjakan solatul qiyam atau qiyam Ramadhan iaitu solat sunat Tarawih.

19. Apabila tiba sepuluh hari terakhir, banyakkanlah ibadat dengan jalan beriktikaf dan usahakanlah memperolehi "lailatul qadar" yang terletak di salah satu malam dari malam yang ganjil pada sepuluh hari yang akhir (dari malam 20 hingga 30).



ZAKAT FITRAH:


PENGERTIAN ZAKAT FITRAH :

Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

SYARAT WAJIB ZAKAT :

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

1. Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

2. Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.

3. Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.

Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.
Maksud dan tujuan nya ialah buat membersihkan orang yang berpuasa daripada pekerjaan yang telah dikerjakan olehnya dalam bulan Ramadhan selain membantu dan menolong orang-orang miskin dan beberapa orang yang berhak menurut yang di tetapkan oleh Allah dan Rasulnya supaya mereka dapat bersama-sama berhari raya pada hari raya.

Kadar Bayaran Fitrah :

Wajib fitrah adalah daripada makanan asasi bagi rakyat sesuatu negeri dengan kadar SATU GANTANG bagi dirinya dan setiap tanggunganya.

ZAKAT FITRAH PADA TAHUN INI 2009 / 1430 H.

Lembaga Zakat Selangor telah menetapkan bahawa kadar bagi setiap diri dan tanggungannya adalah RM 7.00 saorang.

PENOLONG AMIL DAN WAKTU BAYARAN :

Penolong Amil bagi Kawasan Taman Rawang Perdana : Hj Abdullah bin Hj Mohd Som

Tarikh kutipan bermula : akan dimakumkan

Waktu : selepas Solat Sunat Tarawih – Surau Nur Ikhwan

selepas solat Zohor & Asar pada hari Sabtu & Ahad – Surau Nur Ikhwan

Hari Jumaat – Surau Zaiton.


BIRO KHAIRAT KEMATIAN DAN PENGURUSAN JENAZAH:

Menguruskan jenazah merupakan satu perkara yang tidak boleh kita elakkan begitu sahaja. Sehubungan dengan itu Surau Nur Ikhwan telah membentuk satu biro khusus bagi tujuan ini. Biro ini telah dinamakan “Biro Khairat Kematian dan Pengurusan Jenazah” yang diketuai oleh Tuan Haji Abdullah Mat Som.

Tujuan biro ini ialah untuk memberikan khidmat kebajikan kepada anak qariah di sekitar Taman Rawang Perdana apabila berlakunya kematian. Oleh itu semua anak qariah amat digalakkan untuk menjadi ahli.

Yuran keahlian adalah seperti berikut :-
  • - Ahli baru RM 41.00
  • - Pembaharuan keahlian RM 30.00
Bagi anak qariah yang menjadi ahli, kos pengurusan jenazah adalah seperti berikut :-
  • Jenazah Dewasa— RM 670.00
  • Jenazah kanak-kanak bawah 12 tahun— RM 620
  • Jenazah bayi— RM 240.00
Kos yang tersebut di atas adalah ditanggung sepenuhnya oleh Biro.
Bagi anak qariah yang tidak menjadi ahli, sekiranya berlaku kematian pihak biro akan menguruskan jenazah seperti biasa, tetapi waris perlu membayar kos pengurusan jenazah kepada Biro sebanyak RM 800.00 secara tunai.

Huraian lanjut berhubung dengan tujuan, yuran, manfaat yang diberikan kepada ahli dan sebagainya akan dimuatkan di keluaran akan datang. Oleh itu pastikan anda menerima naskah tersebut.

Sebarang pertanyaan sila hubungi salah seorang AJK biro di bawah:-
  • Haji Abdullah bin Mat Som — 019-282 2434
  • Encik Hilmi bin Mohd Isa — 012-933 2709









USIK & SENYUM - siri 1

Di sebuah kg ada 3 org remaja yang suka lepak. Sorang tu nama dia Ali, sorang tu Budin dan sorang lagi Ciko. Aktiviti seharian depa ni menyebabkan tok imam tak senang duduk. Pada satu hari tok imam tu datang dengan niat nak tarbiyah depa ni.

Maka berlakulah beberapa insiden cabar-mencabar. Tok imam tu cabar si mamat 3 orang tu ke surau waktu Maghrib nanti.

Si Ali pun berkata, "Tok imam ingat kami ni jahil sangat ke? Takpa, nanti kami buktikan yang kami bukan la jahil sangat seperti yang disangkakan" .

Maka apabila hampir masuk waktu Maghrib pergilah mamat 3 orang tu ke surau.

Tok imam pun suruh Ali azan. Tanpa berlengah terus je Ali azan, "Allah Ta'ala... Allah Ta'ala...". Dengan segera tok imam merampas mikrofon daripada Ali dan menyuruh Tok Bilal azan semula. Terselah kejahilan Ali.

Selepas iqamat, masa nak sembahyang tok imam pun mengangkat takbiratul ihram. Tok imam pun satu hal, angkat sekali tak khusyuk, angkat 2 kali pun tak khusyuk jugak lagi...

Masuk je kali ketiga, Budin panggil tok imam. "Tok,tok duduk kat belakang, biar saya jadi imam." Tok imam pun undur le ke belakang.

Budin pun angkat le takbiratul ihram. "Allahu akbar!" Maka para makmum pun ikut angkat takbiratul ihram & memulakan solat. Tiba-tiba je si Budin ni pusing ke belakang dan berkata, "Aaa, tengok! Sekali jee tokkkk!!" Lalu batallah solat Budin. Yg lain-lain pun ikut berenti sambil ketawa terbahak-bahak.

Tok imam pun mintak pulak si Ciko jadi imam. Si Ciko pun terus ke depan jadi imam solat tersebut bermula dari takbir sampai le habis sembahyang.
Siap dengan wirid-wiridnya sekali. Punyalah respek tok imam kat si Ciko niii...

Lepas solat, tok imam pun puji-memuji leee si Ciko ni... Tapi dgn bongkaknye si Ciko berkata,

"He hee, itu belum ambil wuduk lagi tu.Kalau tak, lagi dassat aku semayang. He heee...

PERCUTIAN KELUARGA - JEMAAH SURAU NUR IKHWAN:

Program percutian ini adalah acara tahunan jemaah Surau Nur Ikhwan, Taman Rawang Perdana yang mana tujuan utamanya adalah untuk memupuk semangat kejiranan dan mengeratkan tali silaturahim sesama jemaah. Program ini dijalankan pada cuti pesekolahan bulan Jun.

Program ini telah dimulakan pada tahun 2006, destinasi pertama adalah percutian ke Teluk Batik, Lumut, Perak. Seramai 12 keluarga telah turut serta.


Pada tahun 2007 program ini terpaksa ditangguhkan kerana ramai jemaah pada masa itu berangkat ke tanah suci mengerjakan Umrah.

Gambar: Hilmi Mohd Isa (Penyelaras Program)

Pada tahun 2008 program ini diteruskan lagi, Kali ini ke Pantai Balok, Pahang dengan penyertaan yang amat menggalakan, seramai 20 keluarga telah menyertai percutian pada kali ini.

Tahun 2009 program ini telah ditukar nama kepada “Kembara Keluarga”. Kembara Keluarga pada kali ini membawa para jemaah melihat keindahan pantai di Marang Terengganu. 18 keluarga berserta ahli keluarga masing-masing berhimpun di Angullia Resort. Bagi kaum ibu, mereka telah dibawa membeli belah di Pasar Payang dan melawat Masjid Kristal.

Kepada jemaah yang berminat dan ingin turut serta atau ingin mendapat maklumat lanjut program ini bolehlah berhubung dengan Penyelaras Program, En. Hilmi Mohd Isa.

Gambar: Rombongan ahli keluarga bergambar di Teluk Batik, Perak ( 2006)


Gambar: Rombongan keluarga bergambar di Pantai Balok, Kuantan (2008)

Gambar: Bergambar sebelum memulakan kembara keluarga 2009

Gambar: Sukaneka keluarga di Pantai Marang, Terengganu (2009)


PROGRAM MOTIVASI PELAJAR REMAJA:

Program Pemantapan Minda & Rohani bagi anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan resmi sesi 2009:

Kita akan merasa bangga sekiranya anak-anak kita beroleh kejayaan yang cermerlang kerana ianya dapat mengharumkan nama keluarga khususnya dan taman kediaman amnya. Diatas kesedaran itulah maka Biro Pemuda Surau Nur Ikhwan pada setiap tahun menganjurkan satu program khusus untuk anak-anak sekitar Taman Rawang Perdana yang bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM. Program ini diadakan bertujuan memberi semangat, kekuatan mental dan fizikal termasuk keyakinan diri para pelajar sebelum mereka menghadapi peperiksaan.

Program ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu :-

1. Pemantapan Minda dan Motivasi berserta Pemantapan Rohani dan Qiamullail
2. Bacaan Yasin dan Solat Hajat

Kapada ibubapa yang ingin turut serta bolehlah menghantar anak-anak mereka pada masa hadapan, kerana program untuk tahun ini telah pun selesai dijalankan pada 11-12/7/2009 dan 15/8/2009.

Gambar: Ibu bapa dan anak-anak sedang mengikuti program

Gambar: Ibu bapa dan anak-anak sedang mendengar taklimat

Penceramah Tetap Surau Nur Ikhwan

Penceramah Tafsir Al-Quran:
Tuan Guru Sheikh Abdullah Lutfi dari Kg. Delek, Kelang, Selangor. Kuliah disampaikan pada setiap Selasa kedua secara bulanan selepas Maghrib.
Penceramah Aqidah dan Riadhus Solihin:
Ustaz Mohd Zin dari Gombak menyampaikan kuliah Aqidah pada setiap Isnin pertama dan Riadhus Solihin pada setiap Khamis ketiga secara bulanan. Beliau juga menyampaikan kuliah fiqh kepada muslimat pada Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan pada waktu dhuha.


Penceramah Risalah Tauhid:

Ustaz Ghozali Hasbullah dari Darul 'Atiq, Kuala Kubu Baru menyampaikan kuliah Risalah Tauhid pada Ahad ke empat secara bulanan.




Penceramah Asbabul Wurud:
Ustaz Dr. Abdul Latif dari Tasik Puteri menyampaikan kuliah Asbabul wurud ( sebab-sebab Hadis diriwayatkan) pada setiap Jumaat pertama secara bulanan.


Penceramah Kaedah Fiqh:
Ustaz Hj Abdul Hakim dari Rawang menyampaikan kuliah Kaedah Fiqh pada Ahad pertama dan kedua secara bulanan.

Penceramah Sirah Rasulullah s.a.w. :
Ustaz Abdul Razak Al-Mesri dari Rawang menyampaikan Kuliah Sirah pada setiap Jumaat ke empat secara bulanan.

Penceramah Tasawur Islam:
Ustaz Ismail Abbas dari Selayang menyampaikan Kuliah Tasawur Islam pada Khamis kedua secara bulanan.



Penceramah Tasawuf Islam:
Ustaz Mohd Nazmi Abdul Karim dari Shah Alam menyampaikan Kuliah Tasawuf pada Isnin ketiga secara bulanan.














Guru Al-Quran:

Ustaz Mohd Apandi selaku Imam dan Penasihat Surau Nur Ikhwan adalah Pembimbing kuliah talaqi Al-Quran. Beliau sering ke udara di radio dan bakal muncul di rancangan Astro - Kalam Suci pada Ramadhan ini.

Guru Tajwid Al-Quran:
Ustaz Yahya Ahmad dari Ampang adalah Guru Tajwid yang membimbing jemaah muslimin dan muslimat pada Sabtu kedua dan keempat setiap bulan. Beliau juga membimbing muslimat pada waktu dhuha hari Sabtu kedua dan keempat setiap bulan.


Penceramah Tafsir dan Aqidah untuk Kuliah Muslimat:

Ustaz Muzair (tiada dalam gambar) menyampaikan kuliah Tafsir Al-Quran dan Aqidah kepada muslimat pada waktu dhuha setiap Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan.

Ahli Jawatan Kuasa Surau Nur Ikhwan 2008/2009

Isnin, Ogos 17, 2009